TPM saran bina PAWE setiap Parlimen

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan akan membina sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap kawasan Parlimen seluruh negara untuk menggalakkan penuaan aktif dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, sebanyak 88 buah PAWE telah ditubuhkan buat masa ini yang memberi manfaat kepada 36,931 warga emas berdaftar.

”Kerajaan berhasrat menyediakan lebih banyak fasiliti berdasarkan reka bentuk sejagat yang akan memberi manfaat kepada warga emas dan juga lain-lain golongan masyarakat,” katanya ketika merasmikan kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Menurutnya, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Malaysia akan mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Ketika itu, populasi negara dijangka mencapai 38.1 juta orang yang mana 5.8 juta daripadanya merupakan warga emas, katanya.

Naib Canselor UPM, Datin Dr Aini Ideris dalam ucapannya berkata, MyAgeing dahulunya dikenali sebagai Institut Gerontologi dan ditubuhkan pada 1 April 2002 sebelum dinaik taraf kepada Institut Penyelidikan Penuaan Kebangsaan pada tahun 2015.

Sejak ditubuhkan, katanya, MyAgeing telah menjalankan pelbagai kajian untuk membina pangkalan data asas mengenai warga emas di Malaysia, lapor Bernama.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74045

Posted by on Sep 23 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE