TPM: Teknologi satelit bantu urus bencana

Pembangunan teknologi satelit membantu negara dalam menguruskan bencana alam, kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Oleh kerana itu, teknologi satelit digunakan Malaysia dalam kajian keaktifan matahari dan kajian lapisan ionosfera di kawasan langit Malaysia, katanya.

“Kejadian bencana alam seperti tsunami, banjir dan malapetaka melibatkan kehilangan pesawat yang menimpa Malaysia telah memberi satu dimensi baharu mengenai keperluan teknologi satelit dalam aspek pengurusan dan operasi.

“Di sinilah ramai pihak telah mula sedar mengenai perlunya sains angkasa dipelajari, difahami kerana aplikasinya terlalu banyak termasuk penggunaan satelit untuk pengurusan bencana dan kegunaan lain,” katanya sewaktu berucap di Sambutan Jubli Perak 25 tahun Planetarium Negara di Kuala Lumpur, malam tadi.

Sambutan itu turut dihadiri Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Planetarium Negara ditubuhkan pada 1994 selepas diilhamkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata matlamat penubuhan dan fungsi Planetarium Negara kekal relevan sehingga hari ini.

Menurutnya, Planetarium Negara berjaya mendidik dan menyedarkan orang ramai mengenai sains angkasa.

“Ia menjadi entiti yang bertanggungjawab membolehkan Malaysia menjengah ke angkasa lepas.

“Meskipun Malaysia pada ketika itu baharu berjinak-jinak dengan sains dan industri angkasa, tetapi beberapa kejayaan yang dicatat dan telah diketahui umum, termasuk penghantaran angkasawan dan pelancaran satelit menjadi penanda aras terawal tentang keupayaan kita,” tambahnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73374

Posted by on Apr 26 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE