Tsunami 2008 : Mesej rakyat tolak politik fitnah (Lim Hong Siang)

fitnahII-2Bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim membuat kejutan sempena ulangtahun kelima “tsunami politik”, apabila memanggil sidang media untuk mengakui bahawa anaknya telah dipergunakan untuk memfitnah Anwar Ibrahim dalam kes Liwat II. Azlan memohon maaf kepada Anwar dan keluarganya, dan menyerah borang kemasukan KEADILAN beberapa hari kemudian.

Untuk saya, makna di sebalik perkembangan yang dramatik ini jauh daripada sekadar “membersihkan nama Anwar Ibrahim”. Mereka yang bersih tetap bersih, hatta bagaimana dipalit fitnah sekali pun. Malah sesetengah aktivis yang mengambil iktibar dari krisis rampasan kuasa negeri Perak, gagal menyelindungi kebimbangan yang terpendam – apakah ini satu perangkap politik untuk mementaskan semula “Saiful” menjelang PRU 13?

Persoalan yang lebih besar di sebalik pendedahan Azlan adalah – siapakah yang memberi nafas baru kepada “politik dubur”, selepas bab itu cuba dibubuhkan noktah ketika zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi? Saya tidak menganjurkan bahawa sesungguhnya itu niat baik Pak Lah untuk tidak campur tangan dalam sistem kehakiman, lantas memberi laluan kepada pembebasan Anwar pada 2 September 2004. Barangkali Pak Lah terpaksa berbuat demikian memandangkan kesihatan Anwar yang merosot dengan ketara pada ketika itu. Risikonya terlalu besar jikalau apa-apa terjadi kepada Anwar.

 

Politik dubur pasca PRU 2008

Tolak-FitnahBagaimanapun, bab itu ditutup. Ia dibuka semula hanya apabila Anwar berjaya mencetuskan “tsunami politik” dan dilihat menuju ke arah Putrajaya pada 16 September 2008. Bayangkan, berapa sumber yang dicurahkan untuk kes Liwat II ini? Daripada tenaga polis, mahkamah, hospital hinggalah media, 1 Malaysia ditumpukan untuk mengopek 1 dubur milik Saiful. VCD dicetak, berbuih-buih katak berceramah kepada kerusi, masjid dan Al-Quran digunakan untuk tujuan “sumpah” dan sebagainya. Malaysia kembali kepada zaman Mahathir.

“Dubur Saiful” perlu dikaji dalam konteks 8 Mac 2008. “Tsunami politik” itu sebagai mesej pengundi kepada Barisan Nasional, bahawa rakyat mual dan jelek dengan politik menghunus keris, skandal PKFZ (Port Klang Free Zone), “ketirisan” bumbung parlimen dan mahkamah, hakim dibeli, malah manipulasi sistem pilihan raya untuk mengekalkan kuasa. Hakikat bahawa rakyat mendahagakan perubahan itu diakui Najib sendiri ketika mengambil alih tampuk kuasa daripada Pak Lah, malah menjadikan Transformasi sebagai tema politiknya.

Namun, apakah Umno BN mengambil iktibar daripada pengajaran tsunami politik? Sebaik sahaja Umno BN dihukum dalam PRU 12, politik perkauman dilaga-lagakan semula dengan laungan slogan Ketuanan Melayu. Dubur yang tidak dicuci untuk beberapa hari terpampang di depan audiens. Maka tidak hairanlah mengapa politik sering dilihat kotor dari kaca mata umum, kerana permainan politik di Malaysia bermain dengan “dubur”.

 

Politik isu lawan politik dubur

lembu_di_kondo_halfGenap lima tahun Umno BN mentadbir, tetapi tiada perubahan mendadak yang dirasai. Sama ada hakim yang dibeli towkay, mahupun towkay yang membeli hakim, pemimpin Umno BN kekal bebas dari tindakan undang-undang. Skandal kebocoran bumbung kini diganti dengan keruntuhan bumbung stadium – tidak cukup dengan sekali, tetapi dua kali. Skandal demi skandal didedahkan, tetapi dilengah-lengahkan perbicaraanya dengan sedaya-upaya. Kes mahligai Khir Toyo dalam rayuan, kes PKFZ dan NFC pula dalam perbicaraan – sebelum kita lupa, bagaimana Eric Chia dan Kasitah Gaddam dihadapkan ke mahkamah sebelum PRU 11 dan dibebaskan selepas PRU 11.

Jadi, apabila politik dubur dipentaskan semula, tujuannya tidak lain tidak bukan untuk menyumbat (skandal) lembu ke dalam dubur. Untuk lima tahun kebelakangan ini Pakatan Rakyat cuba membawa politik yang berlandaskan isu dan dasar, malah Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari lalu juga perjuangan berdasarkan isu, termasuk BERSIH, peneroka FELDA, royalti minyak, kebersihan alam (anti-Lynas), warisan sejarah, bahasa ibunda, pendidikan percuma dan sebagainya. Apakah dengan menampilkan satu dubur, kesemua isu ini boleh hilang disumbat ke dalamnya?

Meskipun terperanjat dengan pengakuan bapa Saiful, tetapi sedikit pun tidak saya terasa lega dengan perkembangan sedemikian. Padahal saya menganggap terlalu lama kita membazir masa untuk politik dubur. Dari tahun 1998 sehinggalah 2013 – 15 tahun kita meneka sama ada Anwar terlibat atau tidak, sebagaimana yang dituduh. Keraguan sedemikian melanjutkan persoalan sama ada Anwar calon terbaik untuk Pakatan Rakyat.

Secara terus-terang saya cukup mual dengan politik sedemikian. Hanya kerana “keraguan” (itu pun ditimbulkan musuh politik) sedemikian, kita tidak kisah manusia yang mencuri lembu, menggubal dasar agar anak kita berhutang sebaik tamat pengajian tinggi, membina empangan untuk menenggelamkan halaman rumah kaum asli kita, membina kilang pemprosesan nadir bumi untuk menodai pantai kita.

 

Agenda yang mana?

Lebih-lebih lagi apabila saya dimaklumkan rakan bahawa golongan isteri dan ibu begitu ambil berat – sama ada Anwar benar terlibat dalam kes Saiful. Saya tidak terkata apa-apa. Kita tidak persoal sama ada Anwar punggah harta rakyat, tidak pertikai sama ada dasarnya membebankan rakyat – tetapi kita teka-teki, betulkah lelaki dalam video itu Anwar?

Jikalau ini keadaannya, maka Malaysia tidak akan mempunyai masa depan. Kita rela membiarkan anak sekolah rendah kita diracuni susu 1Malaysia, diracuni pemikirannya oleh BTN (Biro Tatanegara) kemudiannya, dibeban dengan hutang PTPTN selepas graduasi, diperhambakan ketika bekerja dalam masyarakat. Seterusnya generasi cucu-cicit diracuni sisa pemprosesan nadir bumi, stadium runtuh dan jambatan ranap. Kita terus hidup dalam negara yang mana bangsanya boleh membaling telur sewenang-wenangnya hanya kerana dendam dan dengki.

Kalaulah agenda politik dubur berjaya dalam PRU 13, maka satu-satunya kesimpulan yang boleh dirumuskan adalah, pengundi Malaysia berfikir dengan dubur.

*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. Beliau boleh dihubungi di hongsiang27@gmail.com

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=48104

Posted by on Mar 22 2013. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google