Tubuh suruhanjaya diraja siasat masalah diwariskan Isa Samad kepada FGV

KUALA LUMPUR 19 JUN: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman menggesa Putrajaya menubuhkan satu suruhanjaya diraja untuk menyiasat segala masalah yang berlaku di Felda sejak bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Tan Sri Isa Smad dilantik sebagai pengerusi Felda pada 2011.

Menurutnya, tindakan menggantikan Isa dengan Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bukan jalan penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku dalam agensi berkenaan.

“Kita tak mahu oleh kerana Isa letak jawatan, maka seolah-olah episod FGV itu berakhir. Pendirian kita jelas dalam hal ini, kalau boleh kita mahu pihak audit dan suruhanjaya bebas atau diraja mesti dibentuk dan ia harus menyiasat kehilangan berbilion-bilion wang- bukan sejak Isa di FGV tetapi sejak dia dilantik sebagai pengerusi Felda pada 2011,” katanya.

Tambahnya, masalah dalam FGV belum selesai malah tiada sebarang siasatan dilakukan terhadap Isa Samad semenjak beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bermula 2011, walaupun ketika itu banyak isu berkenaan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa dibangkitkan.

“Kita tak mahu cara penyelesaian kerajaan dengan menukar orang, seolah-olah tukar orang selesai masalah. Tetapi apa terjadi kepada agensi itu? Apa terjadi pada rakyat? Peneroka Felda? Siapa yang hendak bertanggungjawab?” katanya kepada KeadilanDaily.

Selain itu, Mazlan turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Isa Samad serta individu lain yang mungkin terlibat dalam kemelut yang berlaku dalam FGV ketika ini.

“Isa tinggalkan FGV kita alu-alukan, namun seperti yang dikatakan sebelum ini, SPRM mesti teruskan siasatan dan sekiranya wujud bukti-bukti mana-mana individu yang terlibat dalam amalan rasuah dan penyelewengan dan salah guna kuasa mereka mesti diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Dr Sulaiman Mahbob akan dilantik menggantikan Isa Samad sebagai pengerusi baharu syarikat perladangan terbesar dunia itu.

Kemelut FGV bermula apabila Isa mengarahkan ketua pegawai eksekutif Zakaria Arshad bercuti sehingga selesai siasatan kes hutang tertunggak Safitex Trading dengan Delima Oil Products Sdn Bhd.

Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim, turut diarahkan untuk bercuti, pada 6 Jun lalu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70126

Posted by on Jun 19 2017. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE