Tujuan akhir NeoCon (Oleh: Hishamudin Rais)
After last week’s explosions it’s important to take an objective look at the evidence as the story unfolds rather than putting blind faith into the anti-Iran spin from Washington and Tel Aviv – dari BANGKOK POST 19/2/2012.
Bom meletup di Bangkok minggu dahulu. Berita melaporkan bangunan kedutaan Israel sebagai sasaran. Seorang warga Iran ditahan di Kuala Lumpur.
Sebelum Bangkok, bom juga meletup di New Delhi dan Georgia. Media dan agensi berita yang bersimpati dengan Zionis menuduh Iran di belakang semua letupan ini. Letupan ini bukti Iran adalah negara sarang pengganas.
Tetapi Bangkok Post, akhbar harian Inggeris Siam melaporkan kenyataan Menteri Dalam Negeri yang meminta semua pihak tidak melulu menuduh Iran. Apakah ada sesuatu lagi di belakang letupan ini? Apa makna semua ini?
Strategi mengolah persetujuan
Dalam strategi media, ini dipanggil strategi mengolah pesetujuan. Bom yang meletup itu adalah hasil operasi ‘false-flag’. Ini modus operandi yang sering dilakukan sebelum perang dilancar.
Letupan kecil digunakan untuk mengolah persetujuan agar ‘letupan’ yang lebih besar dapat dilakukan.
Jika membaca buku memoir Said Zahari – bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu – kita akan bertemu dengan naratif di mana Tunku diminta British untuk meletupkan kapal British di Laut China Selatan.
Kemudian British meminta Tunku menuduh letupan ini sebagai kerja sabotaj Sukarno. Ini berlaku ketika Bung Karno menentang pembentukan Malaysia pada 1963.
Jangan lupa – terbaru di Kuala Lumpur, berlaku tiga letupan kecil pada 9 Januari lalu di Mahkamah Jalan Duta. Ini adalah operasi ‘false-flag’. Tidak susah untuk memahami siapa di belakang letupan kerana pagi esoknya akhbar kesayangan gerombolan United Malays National Organistion menuduh: letupan bom ini adalah hasil kerja penyokong Anwar Ibrahim.
Seperti tulisan minggu lalu, saya menerangkan bahawa semua yang berlaku dalam dunia hari ini adalah perancangan gerombolan NeoCon. Babak dan drama politik dunia yang sedang kita saksikan adalah projek untuk mengimplementasi Projek Kurun Baru Amerika yang dirancang gerombolan NeoCon.
Rasa saya bukanlah begitu susah untuk memahami garis dan jalan politik Amerika ini. Ia tidak jauh dari apa yang sedang berjalan dalam negara kita. Cuma politik di Amerika skalanya lebih besar dan merangkumi politik dunia.
Persyarikatan Senjata Amerika
Semuanya bermula dengan kepentingan The American Military Industrial Complex – Persyarikatan Senjata Amerika. Ini adalah kumpulan syarikat pembuat senjata gergasi yang sedang mendominasi politik dunia. Persyarikatan Senjata ini akan memilih dan menyokong calon untuk menduduki Rumah Putih.
Persyarikatan Senjata bersekongkol dengan Walls Street untuk memastikan dasar ekonomi erbaik untuk kaum pemodal. Persyarikatan Senjata akan menaja kumpulan pemikir untuk mengolah pandangan melalui tulisan dan komentar di media.
Wartawan, penulis dan pemikir diupah dan ditonjol sebagai pembuat pandangan. Gerombolan NeoCon adalah tajaan Persyarikatan Senjata Amerika untuk menjadi jurufikir.
Persyarikatan Senjata Amerika bergerak dengan licik dan terancang. Dalam masa sama, mereka bekerjasama dengan rejim Zionis Israel. Kerjasama intim berlaku kerana ada kepentingan bersama.
Amerika memerlukan minyak mentah dari negara Arab. Isreal dijadikan ‘polong’ untuk menakut-nakut dan menghuruharakan wilayah Timur Tengah. Kerana takutkan ‘polong’, negara Arab akan menjual minyak kepada Amerika dan membeli senjata dari Amerika. Sempoi!
‘Polong’ bernama Israel
Modus operandi Persyarikatan Senjata ini tidak ada bezanya dari peranan yang mainkan oleh Ananda Krishnan, Vincent Tan atau Syed Mokhtar. Cukong dan tauke akan melabur duit untuk memastikan calon United Malays National Organisation terus berkuasa memerintah Malaysia.
Apa yang berbeza: Vincent Tan mahu tapak tanah penjara Pudu manakala Carlyle Group di Amerika mahukan wilayah Kirkuk di Iraq yang kaya dengan minyak.
Syed Mokhtar mahu monopoli jual beli beras manakala Halliburton mahu kontrak pembuatan senjata di Amerika. Ananda Krishnan mahu 40 saluran Astro manakala Time Warner mahu memiliki semua media dalam dunia ini.
Apa yang cuba saya lakarkan di sini adalah bahan latar untuk kita semua memahami apa yang sedang berlaku. Hari ini pembudayaan, moral, nilai, tingkah laku, cara hidup malah cara manusia berfikir juga dibentuk sistem ekonomi kapitalis.
Justeru ramai warga dalam dunia ini secara tidak sedar memiliki pandangan dunia yang direkakarya oleh sistem ekonomi kapitalis. Justeru mereka akan menerima tuduhan dari media pro Zionis bahawa Iran adalah sebuah negara bahaya kerana sedang merancang untuk membuat bom nuklear.
Bagaimana semua ini ada sangkut paut dengan persediaan untuk menyerang Iran? Apakah betul Iran yang menjadi sasaran?
Jawabnya ya dan tidak. Betul pada ketika ini Iran sedang menjadi sasaran. Walaupun 16 badan risikan Amerika menerangkan kepada Kongres Amerika bahawa Iran tidak ada rancangan untuk membuat bom nuklear. Laporan badan nuklear dunia – International Aromic Energy Agency (IAEA) juga memiliki pandangan yang sama. Tetapi gembar-gembur untuk menyerang Iran masih diteruskan. Kenapa?
Jawabnya senang. Persyarikatan Senjata Amerika memerlukan suasana perang agar kilang persenjataan terus mendapat kontrak membuat senjata. Isreal, seperti yang saya nyatakan memainkan peranan ‘polong’ untuk terus menakut-nakutkan dan menundukkan semua negara Timur Tengah ini untuk menyembah Rumah Putih.
Rakyat dunia wajib berwaspada dari sekarang kerana NeoCon, jurufikir Perserikatan Senjata memiliki rancangan masa depan berjangka panjang. NeoCon berfikir, merancang bukan untuk setahun dua. Contoh, rancangan menyerang Iraq mereka kupas panjang lebar sejak 1991. Iraq hanya diserang pada 2003.
NeoCon Vs China
Sasaran utama NeoCon bukan Iran tetapi China. Mungkin ada pembaca musykil dan amat payah untuk menerima kenyataan ini. Di sinilah kekuatan NeoCon – mereka dibayar untuk berfikir dan kemudian buah fikiran mereka dijadikan dasar negara.
Dasar di kota dan dikuatkuasakan oleh kekuatan bala tentera Amerika. Justeru mereka memperincikan cadangan mereka sebagai Projek Kurun Baru Amerika.
Untuk memahami kenapa China menjadi sasaran sila rujuk kembali rukun iman NeoCon yang tertulis dalam Projek Kurun Baru Amerika. Jelas tertulis: tidak membenarkan mana-mana negara muncul untuk menentang kepentingan Amerika atau berkeupayaan menandingi kuasa Amerika.
Justeru rukun iman ini boleh mentafsir China memiliki potensi untuk menandingi kuasa Amerika. Hari ini ekonomi China adalah ekonomi kedua terbesar dunia. China mengambil tempat Jepun.
Memang betul kekuatan tentera laut dan darat China tidak mungkin menandingi Amerika. Memang betul ketika ini, teknologi China jauh ketinggalan. Memang betul kemiskinan masih lagi menghantui beratus juta warga China.
Menyedari ini, NeoCon mencadangkan ‘projek’ untuk memastikan China terus mundur dan tidak gagah bangun berdiri. Kelemahan asasi China ialah bahan bakar petroleum.
China perlu mengimpot 32 peratus keperluan bahan bakar minyak. Sumber minyak ini datangnya dari Afrika, Telok Parsi dan Saudi Arabia.
Ketika Saddam Hussein berkuasa di Iraq banyak konsesi cari gali minyak diberi kepada China. Apabila Amerika masuk, mengambil alih Iraq, semua perjanjian cari gali dibatal.
Di Libya, China ada hubungan baik dengan Muammar Gadaffi. Apabila Gaddafi dibunuh semua kepentingan China dilupus. Semua perjanjian cari gali minyak di Libya dibatal.
Dengan ini amat jelas perang di Iraq dan Libya telah menafikan kepentingan China. Pekara ini amat disedari China. Justeru China membuat perjanjian membeli minyak mentah dan gas dari Iran.
Telah wujud perancangan untuk membuat pembetongan aliran minyak dan gas dari Iran ke Pakistan dan berakhir di China. Aliran minyak ini mengikut Jalan Sutera Lama – The Old Silk Road.
Jika berjaya, China akan mendapat aliran minyak dan gas berterusan tanpa melintasi Selat Melaka.
Persaingan kuasa besar
Amerika melihat semua langkah China ini, sedar akan hubungan intim antara China dengan Iran dan Pakistan. Justeru, yang berlaku di Libya, Syria, Iran dan Pakistan adalah strategi bala tentera Amerika untuk mengepung China dalam jangka panjang.
Menyedari semua ini, kita lihat bagaimana Rusia sekata dengan China untuk tidak menyokong sekatan ke atas Syria.
Rusia sedar negara boneka – Afghanistan, Tajikistan, Uzbekistan, Kyrgyzstan sedang dipersenjatai Amerika. Negara peliharan Amerika terletak di bawah perut Rusia. Negara ini bersempadan dengan China. Tidak dapat tidak negara ‘tan’ ini akan menjadi ‘ Israel’ untuk China dan Rusia.
Justeru, tulisan ini adalah ingatan kepada warga dunia. Jika perang dilancarkan ke atas Iran bermakna Perang Dunia Ketiga bermula. Serangan ke atas Iran adalah mengimplementasi projek NeoCon sedang untuk melahir New World Order atau Tata Dunia Baru.
Sebelum perang pecah, kita wajib membaca kembali sejarah dan pengalaman generasi sebelum kita yang menuntut Merdeka di zaman Perang Dunia Kedua. Jika perang pecah ia akan membuka peluang untuk kita menumbangkan gerombolan United Malays National Organisation dan melahirkan Tata Malaysia Baru.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=27099






