Tujuh soalan untuk SKMM berkenaan skandal kebocoran data

Semalam Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia, enggan memberi komen berkenaan sebuah laporan media yang berkata skandal kebocoran lebih 46 juta data peribadi pengguna perkhidmatan telekomunikasi melibatkan sistem Public Cellular Blocking Service (PCBS).

Laporan tersebut turut menamakan Nuemera Sdn Bhd sebagai syarikat swasta yang diberi kontrak pada 2014 untuk mengendalikan sistem PCBS.

Saya faham mengapa Datuk Seri Salleh mungkin enggan menjawab, memandangkan lantikan Nuemera Sdn Bhd dibuat sebelum beliau menjadi menteri.

Walaupun begitu, beliau seharusnya lebih bersikap proaktif dan terbuka dengan mengarahkan SKMM untuk mengeluarkan kenyataan serta senarai soalan-soalan lazim (Frequently Asked Questions – FAQ), memandangkan skandal kebocoran data ini memberi kesan kepada hampir kesemua pengguna perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia.

Oleh itu, saya ingin mencadangkan tujuh soalan pertama untuk dijawab SKMM yang boleh diterbitkan sebagai FAQ:

1. Apakah merit atau kelayakan syarikat swasta Nuemera Sdn Bhd dipilih SKMM untuk melaksana PCBS pada 2014?

2. Siapakah yang terlibat di dalam proses pemilihan Nuemera Sdn Bhd ini?

3. Apakah nilai kontrak yang diterima Nuemera Sdn Bhd untuk keseluruhan projek PCBS ini?

4. Bilakah pihak SKMM akan mendedahkan kontrak yang ditandatangani SKMM dan Nuemera Sdn Bhd berkaitan projek PCBS ini?

5. Apakah tindakan yang telah dilakukan SKMM terhadap Nuemera Sdn Bhd sejak kebocoran berlaku sehingga laporan berita Lowyat.net pada 19 Oktober lalu?

6. Memandangkan kebocoran data ini dipercayai berlaku pada 2014, iaitu pada tahun Nuemera Sdn Bhd dilantik mengendalikan PCBS, bilakah pihak SKMM sendiri mengenal pasti berlakunya kebocoran data tersebut? Atau adakah SKMM hanya mengetahui tentang kebocoran data ini dari laporan berita Lowyat.net pada 19 Oktober lalu?

7. Apakah pampasan yang akan diberi pihak SKMM, Nuemera Sdn Bhd, serta syarikat-syarikat telekomunikasi kepada semua para pengguna yang telah terkesan akibat skandal kebocoran data ini?

Saya percaya ramai pengguna perkhidmatan telekomunikasi sedang menantikan jawapan menyeluruh pihak SKMM berkenaan skandal kebocoran data terbesar dalam sejarah Malaysia. Saya berharap dengan jawapan SKMM kepada soalan-soalan ini, rakyat Malaysia akan mula memahami apa yang sebenarnya berlaku di dalam skandal ini.

 

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70807

Posted by on Nov 29 2017. Filed under KENYATAAN MEDIA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE