Tumbangkan Najib PRU 14 (TN14), bukan tunggu 2050

Pakatan Harapan terpanggil dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan yang sengaja melengah-lengahkan penyelesaian dasar seperti rasuah, urus tadbir bersih, kos sara hidup tinggi, pengangguran dan bermacam-macam lagi.

Pakatan Harapan ingin menegaskan kepada kerajaan bahawa masalah yang dihadapi rakyat pada hari ini adalah kritikal dan rakyat tidak perlu tunggu hingga 2050 tetapi rakyat boleh membuat pilihan pada PRU-14 dengan menumbangkan Umno BN agar Malaysia bebas dikuasai daripada tangan-tangan perasuah.

Dilema rakyat khususnya golongan muda sering dibangkitkan oleh Pakatan Harapan secara konsisten demi mendapat perhatian kerajaan, namun ia disia-siakan. Beberapa isu besar yang perlu dipandang serius dan diselesaikan secara tuntas oleh pihak kerajaan tanpa perlu mengambil masa yang terlalu lama.

Pentadbiran bebas rasuah

Pakatan Harapan melahirkan kebimbangan berhubung amalan rasuah yang makin berleluasa di bawah pentadbiran Najib Razak. Barometer Korupsi Global Transperancy International (Asia Pasifik) bagi tahun 2016 telah mendedahkan seramai 60 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa tahap rasuah negara ini semakin teruk dengan pertambahan dua kali ganda berbanding 30 peratus pada tahun 2014.

WilliamPada bulan Mac tahun lepas, majalah ‘Time’ telah menempatkan Malaysia sebagai negara kedua paling korup di dunia selepas Brazil. Sama juga seperti yang dilaporkan pada bulan Mei 2016, Malaysia berada di kedudukan nombor dua di dunia selepas Russia di dalam The Economist’s Crony Capitalism Index 2016. Dua bulan kemudian, nama Malaysia sekali lagi telah dimalukan di seluruh dunia apabila Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menyatakan negara kita mengamalkan dasar kleptokrat akibat skandal 1MDB.

Pada tahun 2015, Global Financial Integrity (GFI) menempatkan Malaysia dalam senarai lima negara utama di dunia yang mengamalkan aliran tunai keluar secara haram dengan jumlah terkumpul bersamaan RM1.8 trilion antara tahun 2004 dengan 2013.

Dengan skandal-skandal 1MDB, Jabatan Air Negeri Sabah, Felda, dan Majlis Amanah Rakyat, ini membuktikan bahawa budaya korupsi yang diamalkan oleh Kerajaan Umno BN semakin membarah. Kos rasuah terpaksa ditanggung oleh rakyat dalam bentuk kemerosotan nilai matawang ringgit, pemotongan peruntukan untuk sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan, GST, serta kenaikan kos sara hidup.

Pengangguran tinggi di kalangan graduan

Minggu lalu, Laporan Tahunan 2016 Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan pengangguran belia atau anak muda telah mencecah 10.7 peratus dalam tahun 2015. Jumlah tersebut lebih tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar pengangguran negara iaitu pada kadar 3.1 peratus.

Data ini menunjukkan bahawa pada tahun 2015, seramai 42 peratus daripada kadar pengangguran itu adalah lingkungan umur 20 hingga 24 tahun, manakala 20.4 peratus berumur 25 hingga 29 peratus. Golongan berumur 15 hingga19 tahun pula dicatatkan sebanyak 19 peratus.

Laporan itu dengan jelas telah menyatakan dengan terperinci bahawa pengangguran juga sangat tinggi di kalangan graduan iaitu sebabanya 15.3 peratus.

Gaji rendah

Hasil kajian Khazanah Research Institute (KRI) mendapati, keseluruhan gaji di Malaysia berlaku peningkatan tetapi sangat perlahan. Median gaji pertengahan tahun ini berada di tahap RM1600 sebulan berbanding RM1500 tahun lalu.

Namun di kawasan-kawasan bandar, kenaikan gaji hanyalah sebanyak RM55 sahaja manakala rakyat yang tinggal di pedalaman mendapat gaji kurang dari RM1200 iaitu sebanyak RM400 kurang daripada mereka yang di bandar. Di beberapa negeri seperti Melaka dan Pulau Pinang, kadar kenaikan menjadi kosong jika kita ambil kira kadar inflasi.

Kos sara hidup tinggi

Menurut Profesor Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr Rahmah Ismail, bayaran upah atau gaji di Malaysia jauh lebih rendah dari negara jiran iaitu Singapura tetapi lebih tinggi dari Indonesia dan Thailand.

Namun, perbandingan dengan Indonesia dan Thailand menunjukkan kos sara hidup di Malaysia adalah lebih tinggi menyebabkan gaji benar di negara ini jauh lebih rendah.

Dalam masa yang sama, harga makanan meningkat lebih cepat berbanding barang-barang lain, iaitu kira-kira 30 peratus. Ini telah menyebabkan kerajaan terpaksa mengimport pelbagai jenis bahan makanan daripada luar negara. Contohnya, negara telah mengimport lebih 90 peratus bekalan susu dan 70 peratus bekalan daging mentah.

Rakyat tidak mampu miliki rumah

Rumah mampu milik yang dibina setiap tahun hanya 21 peratus berbanding lebih 60 peratus keperluan sebenar. Harga rumah yang melambung tinggi tidak selaras dengan realiti ekonomi rakyat yang menyebabkan 70 peratus rakyat tidak mampu memiliki rumah.

Laporan BNM bagi tahun 2016 menunjukkan bahawa pasaran perumahan kurang penawaran berbanding permintaan khususnya bagi rumah mampu milik. Peningkatan kadar upah dan rumah pula tidak selari.

Kos pengangkutan

Selain peningkatan kos bahan api, makanan, perubatan dan lain-lain, kerajaan juga gagal untuk menyekat daripada berlakunya kenaikan kos pengangkutan. Rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhada sangat terkesan apabila kos pengangkutan meningkat termasuklah kos pengangkutan awam.

Isu-isu besar yang sedang dihadapi oleh rakyat ini wajar diselesaikan secara tuntas, bukannya bermain dengan pelbagai slogan demi kepentingan tertentu. TN50 adalah satu lagi kaedah untuk menutup kegagalan pentadbiran kerajaan Umno BN!
PAKATAN HARAPAN

Dr Hatta Ramli
Ahli Parlimen Kuala Krai
Parti Amanah Negara (Amanah)

William Leong
Ahli Parlimen Selayang
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Charles Santiago
Ahli Parlimen Klang
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=69895

Posted by on Apr 25 2017. Filed under BERITA UTAMA, KENYATAAN MEDIA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE