Vape belum dibuktikan selamat gantikan rokok

Rokok elektronik atau ‘vape’ belum dibuktikan selamat dan berkesan untuk menggantikan rokok, kata Kementerian Kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye berkata kesan jangka masa panjang cecair vape terhadap paru-paru juga belum dibuktikan selamat, menerusi hasil data sedia ada pihaknya.

“Berdasarkan data yang sedia ada terdapat kemungkinan seperti yang disebut bahawa vape tidak selamat untuk digantikan sebagai rokok dan setakat ini tidak ada bukti vape dapat digunakan dengan berkesan untuk digantikan dengan rokok.

“Kedua, apakah kesan cecair vape ini bila disedut dalam paru-paru dan masih belum ada bukti bahawa kesan dalam jangka masa panjang. Itu kita belum dapat pastikan lagi itu selamat atau tidak,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar-BN) yang bertanyakan sama ada kerajaan akan membenarkan industri itu dengan pengawalan percukaian berikutan ia kesan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Dr Boon Chye turut berkata, meskipun vape mewujudkan satu industri penting yang memberikan peluang pekerjaan kepada golongan muda namun ia perlu diseimbangkan dengan impak dari segi ekonomi dan kesihatan.

Justeru katanya, kementerian menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengadakan perbincangan dan hubungan dengan pengusaha vape dalam negara.

“Kita berharap keadaan ini boleh dibendung kerana khususnya di kalangan remaja terpengaruh dengan vape dan mereka akan jadi bakal perokok pada masa hadapan dan itu yang kita bimbang,” ujarnya.

Sementara itu, pihaknya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau pengiklanan rokok elektronik dalam media sosial.

“Kementerian juga berdialog pihak kendalikan online Shoppee, Lazada dan sebagainya sekiranya ada bahan-bahan yang tidak mengikut undang-undang di bawah Akta Racun kita akan arah supaya mereka turunkan secara sukarela,” katanya menjawab soalan tambahan Mas Ermieyati Samsuddin (Masjid Tanah-PH).

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74185

Posted by on Oct 23 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE