Wan Azizah jamin KWSP suri rumah tetap dilaksanakan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberikan jaminan bahawa janji Pakatan Harapan  untuk melaksanakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suri rumah akan dilaksanakan walaupun kerajaan berdepan cabaran kewangan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata beliau telah berbincang mengenai dana itu dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Saya mendapat jaminan daripada menteri kewangan dan Insya-Allah, kita akan sedaya upaya berusaha untuk selesaikan masalah ini,” katanya ketika berucap pada program Penerapan Nilai-nilai Murni Bersama Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya, lapor Bernama.

Turut hadir Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri Kesihatan Dr Zulkefly Ahmad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Dr Wan Azizah yang juga presiden KEADILAN berkata Putrajaya sekarang berdepan cabaran sukar kerana mewarisi beban hutang yang ditinggalkan rejim BN.

“Tugas membela rakyat akan menjadi lebih sukar,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sememangnya komited dan sedang menunaikan janji-janji manifesto Pakatan Harapan bagi meringankan beban hidup rakyat.

“Kerajaan prihatin dengan keluhan dan kesulitan rakyat dalam mendepani cabaran hidup masa kini,” kata beliau.

Antara janji Pakatan Harapan yang berkaitan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat termasuklah usaha untuk mempertingkat akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan, meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak dan melaksanakan caruman KWSP untuk suri rumah.

Harapan juga berjanji untuk membela nasib golongan orang kurang upaya, memerangi jenayah dan gejala sosial, mendukung keutuhan institusi keluarga dan kejiranan serta memperkasa institusi kemasyarakatan, masyarakat sivil dan keusahawanan sosial, kata beliau.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71848

Posted by on Jun 5 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE