Wan Azizah ketuai angkat sumpah Kabinet

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai upacara mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia 13 orang anggota Kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara hari ini.

Istiadat itu yang berlangsung di Singgahsana Kecil turut disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, lapor Bernama. 

Istiadat berkenaan bermula pada 5.45 petang dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Dr Wan Azizah, yang juga Presiden KEADILAN selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama di negara ini.

Dr Wan Azizah melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Turut mengangkat sumpah berkenaan ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Anggota Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Pendidikan, Anggota Parlimen Titiwangsa Rina Mohd Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar), Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi), Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke (Menteri Pengangkutan).

Turut mengangkat sumpah ialah Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran (Menteri Tenaga Manusia), Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).

Mereka masing-masing turut menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Raus dan Ali.

Istiadat itu berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71794

Posted by on May 21 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE