Wan Azizah: Saya tanya tentang 1MDB, bukan cincin merah jambu

Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam ‘menggempur’ Ipoh bersama pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan dalam jelajah ceramah mereka.

Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap Presiden Pakatan Harapan itu menempelak ketakutan Putrajaya yang sentiasa mengelak untuk menjawab tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Parlimen.

“Di dalam Dewan Rakyat sebanyak 30 soalan tentang 1MDB ditolak oleh Speaker. Saya bukan tanya mengenai siapa MO1 dan siapa terima cincin merah jambu,” katanya, memetik laporan The Malaysian Insight.

Ceramah itu yang dihadiri orang ramai sekitar Ipoh, Kuala Kangsar dan Tambun turut menampilkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini semakin terdesak mahukan undi rakyat sehingga menabur janji sewenang-wenangnya tetapi tidak akan mengotakannya.

Beliau membangkitkan kembali kata-kata Najib lima tahun dahulu yang berjanjj mahu memberikan RM5 bilion kepada Langkawi.

“Najib kata dekat Langkawi, banyak duit dia nak bagi. 5 tahun dahulu, masa itu saya masih baik lagi dengan Najib. Dia kata hendak bagi 5 bilion ringgit pada Langkawi. Satu sen duit pun tak dapat.

“Siapa boleh percaya janji penyangak,” katanya.

Dr Mahathir melabel Najib sedemikian berulang kali dihadapan lebih 2,000 hadirin di Ceramah Perdana, Medan Klebang Restu, Ipoh Perak malam tadi.

Beliau merujuk kepada kenyataan Najib pada 19 Ogos lalu mahu mengekalkan Langkawi sebagai pulau bebas cukai jika Barisan Nasional (BN) terus memerintah.

Justeru, Dr Mahathir mengingatkan rakyat jangan terpedaya dengan janji ahli Parlimen Pekan itu yang akan berterusan memberikan janji palsu.

“Dekat pilihan raya nanti dia (Najib) bagi duit. Dekat Felda dia nak mansuh hutang Felda. Hendak bagi lima ribu ringgit (kepada peneroka). Bila PRU akan beri sampai RM25,000. Tapi itu janji saja, duitnya tiada.

“Dia janji banyak itu sebab dia tak percaya dia boleh menang,” katanya lagi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70399

Posted by on Aug 21 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE