Pimpinan KEADILAN rakam takziah kepada keluarga T Nhaveen

KUALA LUMPUR 16 JUN: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa orang ramai agar mengambil iktibar daripada kematian T Nhaveen, 18 tahun yang dipukul secara ganas oleh sekumpulan remaja, dengan membendung gejala buli di peringkat sekolah lagi.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membuat kenyataan tersebut selepas Nhaveen dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada 5.31 petang semalam.

“Amat sayu mendengar pemergian T Nhaveen. Anak muda dengan potensi yang begitu hebat. Kita perlu usahakan lebih lagi untuk menghentikan buli di sekolah!” katanya dalam kenyataan di Facebook, malam tadi.

Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula menyeru belia agar sedar tentang hak-hak mereka untuk hidup dengan selamat daripada ancaman pembuli.

“Pilu saya mendapat khabar pemergian adik Nhaveen pada petang hari ini. Semoga keluarga, rakan dan kenalan adik Nhaveen tabah dengan dugaan berat ini.

“Gejala buli mesti segera dihentikan. Anak-anak muda tidak boleh dibuli atau menjadi pembuli.

“Anak-anak muda mesti sedar akan hak setiap insan hidup dengan selamat tanpa mengira kaum, latar belakang atau agama,” kata menteri besar Selangor itu dalam kenyataannya menerusi Facebook.

Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar pula menyeru agar semua pihak melakukan sesuatu untuk menyelesaikan siri kejadian buli mutakhir ini.

“Kejadian buli semakin menjadi-jadi. Di mana silapnya? Sejauh mana undang-undang sedia ada mampu hadapi perkara ini?

“Apa masalah pada sistem pendidikan di Malaysia sehingga perkara sebegini tidak dapat dibendung?

“Semua pihak wajar memikirkan secara serius dalam menyelesaikan perkara ini,” katanya menerusi Facebook.

Nhaveen ditemui tidak sedar diri tengah malam 10 Jun lalu di sebuah padang di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

Nhaveen juga disahkan doktor telah diliwat dan mempunyai kesan terbakar pada bahagian belakang badannya, mengalami pendarahan dalaman pada kepala dan abdomen.

Polis yang menyiasat kes tersebut kini mengklasifikannya sebagai jenayah membunuh.

14 Jun lalu, lima orang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa membunuh Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21 tahun di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Zulfarhan ditemui dengan kesan terbakar dan lebam di sebuah apartmen tingkat 25 pada 1 Jun dan disahkan mati pada hari yang sama.

 

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70116

Posted by on Jun 16 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE