Wan Azizah umum pembentukan Pakatan Harapan

(Oleh: Azuan Ab Rahman)

 

SUBANG JAYA, 22 September- Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pembentukan gabungan baru pembangkang dikenali sebagai Pakatan Harapan.

Beliau berkata, gabungan itu setakat ini disertai KEADILAN, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) melalui satu persetujuan bersama hasil rundingan meja bulat yang diadakan di Hotel Empire di sini, hari ini.

PakatanBeliau yang juga Presiden KEADILAN turut menegaskan gabungan tersebut terbuka untuk menjalin kerjasama dengan parti-parti
politik lain.

“Mulai hari ini, Pakatan Harapan akan berfungsi sebagai satu pakatan politik yang jitu membela rakyat bagi berhadapan Umno dan BN.

“Sebuah jawatankuasa diwakili Setiausaha Agung setiap parti akan ditubuhkan bagi memperhalusi terma penubuhan Pakatan Rakyat termasuklah dasar bersama dan etika kerja,” jelasnya dalam sidang media selepas persidang meja bulat tersebut.

Katanya, pembentukan gabungan baru itu merupakan satu langkah perlu bagi membebaskan rakyat daripada tekanan ekonomi dan krisis kepimpinan ekoran kepincangan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita memerlukan kepada satu penyelesaian segera, lebih lama krisis ini berlanjutan rakyat akan terus jadi mangsa ekonomi dan berhadapan permainan adu domba perkauaman sesetengah pihak.

“Harapan rakyat tinggi menggunung supaya satu pakatan pembangkang yang bersatu dan kuat dapat memainkan peranan mengekang salah tadbir dan kepincangan pentadbiran Datuk Seri Najib,” katanya lagi.

Persidangan meja bulat itu dihadiri 18 pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti dan tokoh politik negara termasuk seorang pemimpin Umno yang kritis terhadap kepincangan pentadbiran perdana menteri.

Kewujudan gabungan baru ini diyakini akan memberi harapan baharu kepada rakyat negara ini untuk melihat pembentukan sebuah negara yang lebih adil, inklusif, berdaya saing , berkebajikan dan berpaksi keluhuran undang-undang.

Selain Dr Wan Azizah, Presiden Amanah, Mohammad Sabu dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang turut hadir dalam sidang media tersebut.

 

 

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=67905

Posted by on Sep 22 2015. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE