‘Warga Kuantan tanggung silap kerajaan dahulu’

Warga Kuantan kini menanggung kesilapan rejim BN yang mempercayai kilang nadir bumi di bandar itu mebawa keuntungan walaupun ia sebenarnya berisiko mendedahkan orang ramai kepada kesan radioaktif.

Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Lynas Malaysia Sdn Bhd memperolehi lesen untuk beroperasi selama enam bulan dengan syarat baharu daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA).
“Lynas menjadi pemenang dengan syarat baru ini. Begitu juga syarikat-syarikat pembekalnya yang akan terus mendapat keuntungan, sedangkan rakyat dan alam sekitar terpaksa berdepan risiko kesihatan serta pencemaran.

“Saya kesal kerana kesilapan kerajaan terdahulu yang ‘tertipu’ dengan Lynas dan percaya bahawa industri nadir bumi itu membawa keuntungan kepada negara tanpa memahami bahawa ada sisa radioaktif yang akan dijana oleh kilang tersebut,” kenyataan beliau dari Mekah malam tadi dipetik.

Mengimbau kembali kehadiran syarikat itu di Malaysia, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Lynas tidak seharusnya dibenarkan beroperasi pada 2012 tanpa pelan pengurusan sisa radioaktif.

“Kegilaan apakah yang telah kerajaan terdahulu lakukan apabila mempercayai bahawa sisa radioaktif WLP boleh dibenarkan untuk dikitar semula dalam bentuk ‘condisoil’.

“Saya juga kesal kerana walaupun Lynas kononnya menandatangani surat perjanjian mengeluarkan sisa WLP mereka dari Malaysia, namun tiada usaha sungguh-sungguh dilakukan oleh syarikat itu dan kerajaan terdahulu untuk menjadikan ia satu realiti,” katanya.

Kerajaan hari ini kata Fuziah, terpaksa menanggung beban menyelesaikan kemelut tersebut.

“Kesudahannya rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa mereka akan terdedah kepada risiko sisa WLP di Gebeng selama empat tahun lagi sehingga fasiliti ‘Cracking and Leaching’ disiapkan di Australia bagi memastikan tiada lagi sisa radioaktif akan dikeluarkan di kilang Lynas.

“Dalam tempoh itu, warga Kuantan dipaksa terima hakikat sisa radioaktif WLP Lynas yang akan mencecah satu juta tan akan dilupuskan di negeri ini,” katanya.

“Dalam hal ini saya bersolidariti bersama warga Kuantan di dalam menanggung risiko kesihatan dan pencemaran kepada alam sekitar akibat dari keadaan tersebut,” katanya lagi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73900

Posted by on Aug 16 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE