YDPA puji langkah berhemah Pakatan Harapan

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V mengalu-alukan langkah berhemah kerajaan Pakatan Harapan.

Baginda bertitah demikian sewaktu mencemqr duli merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Keempat Belas, hari ini.

“Beta mengalu-alukan pendekatan kerajaan dalam menegakkan ketelusan, terutamanya dengan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenar serta mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemat bagi menangani kos sara hidup.

“Beta menyokong langkah untuk memansuhkan GST, menstabilkan harga minyak dan memberikan bantuan sara hidup yang diharap dapat meringankan beban rakyat,” teks ucapan baginda dipetik.

Pada masa sama, baginda memuji inisiatif Tabung Harapan yang diusahakan kerajaan Pakatan Rakyat.

“Pada masa yang sama, beta menghargai sumbangan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan umur yang disalurkan kepada dana Tabung Harapan sebagai tanda prihatin terhadap negara,” titah baginda.

Baginda turut menyeru kerajaan berusaha mencari jalan mengatasi cabaran ketidaktentuan ekonomi global, konflik politik dan krisis kemanusiaan peringkat antarabangsa.

“Beta mengalukan sebarang inisiatif melalui penggubalan dasar, strategi dan kerangka perundangan untuk mendepaninya.

“Beta berharap faedah diperolehi bukan hanya aspek ekonomi tetapi meliputi aspek sosial dan lain-lain,” titah baginda.

Seri Paduka tiba pada 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri SA Vigneswaran.

Turut menyambut keberangkatan baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sultan Muhammad V kemudian diiringi ke Penterakna Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja’ oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama, Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhamad Nor Azizan Yahya.

Serentak itu, panji-panji Yang di-Pertuan Agong dikibarkan, diikuti tembakan meriam 21 das serentak dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ turut dimainkan.

Sultan Muhammad V kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, yang diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Selepas pemeriksaan, baginda berangkat semula ke Penterana Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja’ kali kedua, sebelum lagu ‘Negaraku’ dimainkan sekali lagi.

Selesai istiadat berkenaan, Sultan Muhammad V diiringi ke Bilik Diraja di bangunan Parlimen untuk sesi bergambar sebelum ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan perasmian.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72020

Posted by on Jul 17 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE