Zuraida: Gubal undang-undang kekang kebencian, perkauman

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menggesa agar satu undang-undang bagi mengekang ucapan perkauman dan kebencian digubal.

“Saya akan mencadangkan agar pihak kerajaan selepas ini membuat satu undang-undang yang lebih tegas dan keras ke atas pesalah perkauman dan penyebar kebencian.

“Tiba masanya komitmen dan keseriusan pihak kerajaan bagi menangani hal yang membahayakan ini diperkukuh.

“Marilah kita maju dan membangun tanpa rasa curiga,” katanya dalam kenyataan.

Zuraida percaya pentadbiran menggunakan isu perkauman perlu dihentikan kerana ia boleh memusnahkan negara.

“Marilah kita berpegang kepada realiti ini dan bebaskanlah jiwa kita dari belenggu sempit dalam naratif perkauman lapuk yang menjadikan pembelaan kaum sebagai alasan untuk kita saling mencurigai.

“Pentadbiran kerajaan lalu yang mentadbir dengan bergayut pada dahan perkauman yang rapuh itu wajar kita lempar jauh.

“Buang segala hipokrasi yang menyebut perpaduan di mulut tetapi daki perkauman masih menebal di dada,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Islam, Mujahid Yusof sebelum ini berkata undang-undang bagi mengawal ucapan kebencian perlu diperkenalkan segera di negara ini.

Anggota parlimen Parit Buntar itu berharap Suruhanjaya Keharmonian dan Perpaduan Kebangsaan dapat ditubuhkan pada tahun ini.

Menurut beliau sebelum ini Majlis Perundingan Perpaduan Kebangsaan – yang dipengerusikannya pada 2014 – pernah mencadangkan agar undang-undang mengawal ucapan kebencian digubal tetapi cadangan itu gagal.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73971

Posted by on Sep 3 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE