Zuraida mahu mudahkan pengambilan bomba wanita

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin meminta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Muhammad Hamdan Wahid mengkaji semula proses dan ujian fizikal untuk pengambilan anggota bomba wanita.

Menurut Anggota Parlimen Ampang itu, prosedur operasi standard (SOP) boleh diperbaharui bagi memberi peluang lebih ramai golongan hawa menyertai pasukan penyelamat itu.

“Ketika ini peluang pekerjaan (anggota bomba) dibuka untuk semua tetapi golongan wanita kurang memohon kerana mereka menjangkakan kerja ini tidak sesuai dengan melibatkan banyak tugas-tugas fizikal yang agak kasar seperti panjat bangunan atau memadamkan kebakaran.

“Sebenarnya, ada banyak lagi tugas anggota bomba yang memerlukan penglibatan wanita seperti memberi latihan kesedaran dan kaunseling kepada orang awam khususnya suri rumah mengenai program-program pencegahan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu warga JBPM Perak yang turut disertai pengarahnya, Azmi Osman di Ipoh, semalam.

Zuraida berkata daripada 14,000 anggota anggota JBPM ketika ini, hanya lebih 200 orang – atau 5 peratus – terdiri daripada wanita.

Sementara itu, Zuraida memaklumkan penilaian teknikal ke atas syarikat yang akan mendapat tender baju kalis api untuk anggota bomba kini dalam peringkat akhir.

Beliau berkata baju kalis api baharu itu bagi menggantikan pakaian sedia ada, akan diuji terlebih dahulu bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merampas 6,000 baju kalis api bernilai RM13.5 juta selepas kontraktor dilantik didapati membekalkan pakaian yang berisiko kepada anggota bomba biar.

Malah, sembilan balai bomba di seluruh negara berdepan masalah kekurangan baju kalis api dan tidak membeli sebarang baju kalis api baru dalam tempoh dua tahun lepas.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73456

Posted by on May 13 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE