Zuraida: Rohani cetek fikiran anggap mangsa kahwin perogol OK

KUALA LUMPUR 8 OGOS: Ketua Wanita KEADILAN Zuraida Kamaruddin membidas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang berpendapat mangsa rogol bawah umur yang berkahwin dengan perogolnya kini hidup dengan baik.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Rohani yang melawat budak perempuan dari Sabah itu pada 18 April lalu yang kini tidak bersekolah.

“Pemikiran cetek menteri ini tidak mempunyai hak untuk menentukan bahawa mangsa rogol kini sedang menjalani kehidupan dengan baik.

“Keadaan mangsa masih lagi anak kecil, walaupun selepas empat tahun kejadian dan perogol sedang menjalani hukuman di penjara.

“Bukan sahaja anak ini berkahwin dengan si perogol, tetapi anak ini dinafikan hak menerima pendidikan formal.

“Walaupun memilih untuk tidak ke sekolah adalah pilihan mangsa sendiri, ia berlaku kerana keadaan sistem yang tidak melindungi hak dan kebajikan mangsa rogol di bawah umur,” kata Zuraida dalam kenyataan.

Kanak-kanak itu yang dirogol ketika berusia 12 tahun kini tinggal bersama keluarganya selepas perogol, Riduan Masmud yang dikahwininya meringkuk dalam penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah pada 2015.

Rohani dilaporkan berkata bahawa pegawai kebajikan yang melawat budak perempuan itu mendapati dia yang berusia 16 tahun sekarang menjalani kehidupan seperti biasa.

Namun, mangsa yang tinggal bersama keluarganya dan menjaga adik-adiknya dilaporkan malu ke sekolah kerana liputan media kes tersebut.

“Bagaimanakan seorang kanak-kanak bersedia untuk menjadi seorang isteri terutamanya kepada seorang perogol?

“Adakah anak ini bersedia secara emosi dan mental untuk menangani keadaan ini? Menteri tidak sepatutnya memberi persepsi seolah-olah ianya satu penyelesaian yang paling baik untuk menggalakkan perkahwinan mangsa dan perogol,” kata Zuraida.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70342

Posted by on Aug 8 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE